Keberkesanan perubatan tradisional Cina sememangnya sudah diperakui sejak ratusan lama dulu dan sehingga kini, walaupun sudah banyak rawatan moden yang berkembang maju, masih ramai yang setia menggunakan tabib Cina untuk memulihkan penyakit.
Seperti perubatan dan rawatan tradisional yang lain, tabib Cina juga menggunakan kebaikan herba, khususnya dalam menghasilkan ramuan untuk ubat-ubatan sebagai penawar atau penyembuhan bagi sesuatu penyakit.
Prof Zhan yang berasal dari China dan sudah berpuluh tahun terbabit dalam bidang perubatan tradisional Cina, berkata seperti ubat-ubatan moden, herba yang digunakan untuk setiap pesakit juga adalah berbeza mengikut kesesuaian. Malah, seseorang pesakit atau mereka yang mahu kekal sihat dibekalkan ubat mengikut preskripsi doktor perubatan mengikut sukatan dan kaedah yang disarankan.
“Jika satu ketika dulu, ubat herba Cina dihasilkan menggunakan sejenis mangkuk khas dalam proses pembuatannya, kini sudah ada mesin pembuatan bagi menghasilkan campuran herba,” katanya.
Lima perbezaan elemen
Memulih dan mengetahui punca penyakit menerusi pengalaman dan teori, beliau memberitahu, tidak semua herba mempunyai rasa kelat dan pahit. Terdapat empat lagi rasa herba yang tidak diketahui kerana ramai yang menyangka herba dan ginseng memberikan rasa pahit, lalu membuatkan ramai yang sukar menelan ubat daripada jenis herba.
“Ada lima rasa herba iaitu pahit, manis, masam, masin dan tiada rasa langsung.
Setiap rasa ini mempunyai rahsia manfaat tersendiri. Sebenarnya, herba yang baik dinilai melalui warna, bau dan rasa namun setiap herba mempunyai nilai yang tinggi dalam perubatan,” katanya.
Beliau berkata, herba yang memiliki rasa pahit adalah paling baik dan berfungsi untuk membuang toksin, manis untuk limpa dan perut, masam untuk pengaliran darah dan hati manakala rasa herba yang masin baik untuk buah pinggang dan pengaliran darah.
Jika pernah mengambil herba dengan tiada rasa langsung, ia sebenarnya baik untuk sistem paru-paru seseorang individu.
Katanya, manusia hidup dengan alam maka apa yang berlaku kepada manusia, mempunyai hubungan secara langsung dengan alam semula jadi dan ia adalah antara falsafah dalam perubatan Cina.
“Terdapat lima elemen penting dalam perubatan Cina yang menjadi falsafah kepada perubatan menerusi unsur alam. Rangka asas teori perubatan Cina tradisional ialah berdasarkan teori Yin dan Yang dan juga teori lima elemen. Ia adalah seperti api yang sepadan dengan hati. Teori lima elemen menganggap badan manusia sebagai sebahagian daripada dunia fizikal ini dan organ dalaman seperti hati, jantung, limpa, paru-paru serta ginjal adalah secocok dengan lima elemen dalam alam semesta iaitu tanah, api, air, angin dan besi dengan lima,” jelasnya.
Sebagai contoh, paru-paru dianggap mempunyai kualiti kayu yang boleh dinyala oleh api. Oleh itu seseorang yang menghadapi gangguan paru-paru mudah menjadi marah.
Berdasarkan dua teori ini doktor Cina tradisional mengambil berat mengenai kepentingan melaraskan semula keseimbangan harmoni badan seseorang pesakit.
Prof Zhan berkata, perubatan tradisional Cina percaya kepada konsep keseimbangan dan keharmonian tenaga Yin dan Yang, yang bertindak secara menyeluruh merangkumi tubuh banda, semangat serta rohani. Seandainya semua keseimbangan ini dicapai, seseorang itu mampu hidup secara sihat dan sejahtera untuk tempoh lebih lama.
Nilai kesihatan ekslusif
Lantaran itu, TCM Wellness yang terletak di Hotel Wellness Mines mungkin antara lokasi terbaik bagi mereka yang ingin mencuba perubatan berusia 5,000 tahun itu apabila ia menawarkan tempat rawatan alternatif dalam suasana eksklusif pertama di Malaysia.
Pusat perubatan tradisional Cina itu memiliki 18 bilik terapi untuk individu dan pasangan, bilik pengamal perubatan Cina, kaunter herba, farmasi, ruang istirahat bacaan, bilik VIP dan galeri. Secara keseluruhan, ia bukan saja sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan rawatan, malah boleh dijadikan pusat terapi di bawah satu bumbung bagi keselesaan pengunjung.
TCM Welness sudah diasaskan pada 2008 lagi dan kini sudah mempunyai lima pengamal perubatan bertauliah dan ada yang didatangkan khas dari China.
Antara perkhidmatan yang disediakan mendapat sambutan ramai adalah rawatan akupuntur tradisional Cina yang dilakukan oleh pengamal berpengalaman dari Beijing, Jia Hui Feng. Selain itu penjagaan kiropraktik dan moxibustion (pengasapan menggunakan herba) dan pengunjung juga b boleh mencuba terapi badan Tui-Na, refleksologi dan juga rendaman kaki herba.
Lain-lain rawatan pilihan yang ditawarkan adalah Ba Guan (bekam menggunakan cawan kaca), Gua Sha (terapi gores) dan juga kaedah Qiaodanjing yang merangsang penyerapan nutrien, memperbaiki jus hempedu serta penghasilan darah dalam badan. Terdapat juga kelas senaman QiGong yang menghimpunkan sains dan seni penggunaan teknik bernafas, pergerakan lembut dan meditasi untuk mencuci, menguat serta melancarkan pengaliran darah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan