• Bekam guna tanduk kerbau Ku Mahmud menunjukkan tanduk kerbau hitam dan merah yang digunakan untuk menjalankan rawatan bekam tradisional.
1 / 2
ALOR SETAR - Keberkesanan perubatan bekam secara tradisional menggunakan tanduk kerbau serta pisau pencukur dikatakan mampu menghindar individu dari pelbagai penyakit.

Bagaimanapun teknik bekam moden sejak akhir-akhir ini dikatakan mampu memberi saingan kepada pengamal bekam tradisional.

Bagi pengamal perubatan bekam tradisional, Ku Mahmud Ku Said, 80, dari Kampung Batu Pengapit, teknik bekam tradisional masih diterima masyarakat masa kini.

Katanya, dengan pelbagai penyakit yang dialami, bekam tradisional masih lagi menjadi pilihan kerana dipercayai bekam menggunakan tanduk kerbau lebih berkesan.

“Pelbagai teknik bekam digunakan dan pada mulanya saya sangka teknik menggunakan tanduk kerbau ini akan pupus.

"Walaupun pelbagai teknik wujud tetapi masih ramai lagi yang yakin dengan teknik membekam dengan menggunakan tanduk,” katanya kepada Sinar Harian.

Ku Mahmud berkata, pelanggannya bukan sahaja dari sekitar Alor Setar sahaja tetapi ada yang datang dari jauh semata-mata mahu melakukan bekam di kepala serta seluruh badan.

Menurutnya, dia pernah menggunakan 11 tanduk sekali gus untuk melakukan bekam kepada pelanggannya.

“Ini membuktikan teknik ini masih lagi diterima masyarakat dan bagi mereka yang pernah melakukannya secara tradisional ini sudah pasti akan merasa puas,” katanya.

Katanya, bekam menggunakan tanduk mempunyai pantang larangnya tersendiri kerana setiap orang yang melakukannya tidak dibenarkan tidur beberapa jam dan waktu paling bagus melakukannya ialah pada waktu pagi.

“Saya bersyukur kerana sambutan bekam secara tradisional masih lagi diterima malah ada dalam kalangan pegawai perubatan yang turut datang bagi melakukan kaedah bekam secara tradisional ini,” katanya.