Menawarkan satu kaedah perubatan semulajadi berasaskan amalan 7 S - Sunnah, Semulajadi, Selamat, Suci, Solat,Sejahtera,& Sedeqah



Perkhidmatan disini ialah :

1. Perubatan Energy (Aromatherapi, Hidrotherapi)
2. Homeopati
3. Acupunture,
4. Bekam,
5. Nursing Care & Wound Care,
6. Kiropraktik
7. Berkhatan.

Bebaskan diri Anda dari Perubatan berasakan DADAH dan KIMIA!


Pusat Terapi AMH
No 31, Jalan PPAJ 2/6
Pusat Perdagangan Alam Jaya
Puncak Alam, Selangor

Cawangan
Pusat Terapi AMH
Paya Jaras
Kedai Pasar Malam
Jalan Kuala Selangor.
Sungai Buloh. Selangor.

03-60391318
013 388 2726 Ikram
013 643 7033 Syefura
013-211 8380 Hyecal

AMH

AMH

Isnin, 5 Mei 2014

Selamatkan anggota

Katakan tidak kepada amputasi' merupakan slogan Care4U.

LINTAH digunakan untuk menyedut darah kotor keluar dari bahagian yang telah buruk, selain melancarkan peredaran darah.



Hasiah Kasah, 55, melihat pesakit diabetes di katil bersebelahan di sebuah hospital dengan penuh simpati. Mengalami kes yang hampir sama dengannya, Hasiah bagaikan tidak percaya dengan keputusan pihak doktor yang memilih untuk memotong kaki pesakit itu sehingga ke paras betis biarpun bahagian yang buruk hanyalah ibu jari kakinya.
"Saya sedar keputusan yang diambil pihak doktor mempunyai alasan yang kukuh. Tetapi saya tidak dapat membayangkan kehilangan sebegitu besar anggota tubuh hanya untuk memastikan ibu jari yang buruk akibat penyakit ini tidak merebak ke bahagian lain," kongsinya yang tidak dapat tidur selama beberapa malam memikirkan keadaan itu.
Tiga hari lalu, ibu jari kaki kiri Hasiah dipotong. Runsing kehilangan lebih besar bahagian kakinya jika diputuskan lanjut oleh doktor, pembantu tadbir di Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan Malaysia ini mencari jalan lain untuk mengelakkan ia berlaku.
"Jadi saya dan suami datang ke sini bertanyakan bentuk rawatan yang disediakan.
"Apabila sudah jelas dengan kaedah dan bahan yang digunakan untuk merawat, kami bersetuju mencubanya," ujarnya yang mendengar tentang rawatan alternatif Care4U melalui teman-teman.
Rawatan ini boleh didapati di Pusat Penginapan Anjung Rahmat yang terletak di Jalan Gombak, Selangor.
Menyedari terlalu banyak rawatan alternatif yang ditawarkan pada hari ini, Hasiah berpendapat kebaikan sesuatu rawatan tidak akan diketahui selagi ia tidak dicuba.
"Saya sekadar berusaha. Berjaya atau tidak, itu rezeki masing-masing," tambahnya yang baru masuk hari ketiga mendapatkan rawatan di situ.
Penghuni lama Kampung Baru, Kuala Lumpur, Sawiyah Zainal Abidin, 69, sudah lebih 10 tahun menghidap diabetes. Hanya sekitar setahun yang lalu, tapak kaki kanannya mula bernanah selepas satu pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital.
"Saya masih ingat rasa sakitnya semasa nanah dipicit keluar untuk membersihkan kaki yang telah buruk. Saya cuma mampu meraung kesakitan.
"Mula-mula memang cuci di klinik. Tetapi selepas anak-anak melihat cara ia dilakukan, kami melakukannya sendiri di rumah. Malangnya nanah semakin banyak," kongsinya.

HARUN OTHMAN mahu orang ramai mempertimbangkan rawatan alternatif sebelum memutuskan untuk memotong anggota badan yang buruk akibat diabetes.


Perit yang ditanggung bukan kepalang. Andai bernanah saja, berdenyut-denyut seluruh kakinya. Mengambil ubat yang dipreskripsikan doktor, kesannya setakat menghentikan sakit. Doktor sehingga mencadangkan agar kakinya dipotong sehingga ke paras betis.
"Menantu saya kemudiannya diberitahu oleh kawannya tentang pusat rawatan ini. Sekarang, selepas tiga bulan menjalani rawatan, kaki saya hampir pulih sepenuhnya. Bukan saja tidak perlu dipotong, ia sudah kembali ke bentuk dan rupa asal. Syukur," jelas ibu kepada 11 orang anak ini.
Berkongsi tentang peringkat rawatan yang pernah dilalui, Sawiyah berkata ia bermula dengan peringkat pembersihan bahagian yang telah buruk.
"Mereka menggunakan lintah dan bekam untuk mengeluarkan darah yang kotor. Pada waktu yang sama mereka membersihkan bahagian yang telah buruk dan kemudiannya menyapu penawar di kawasan itu.
"Selain itu, saya diberi makan ubat yang dihasilkan menggunakan buah-buahan dan tumbuhan herba tempatan, sama ada untuk mencuci usus, membersihkan sistem saraf dan sebagainya," kata Sawiyah.



Pengarah Cure4U Sdn. Bhd., Harun Othman, 56, menjelaskan rangkaian penawar daripada jenama Biodiabetes yang digunakan, sama ada untuk dimakan atau disapu pada bahagian badan yang telah rosak akibat diabetes yang kronik, dihasilkan sepenuhnya menggunakan buah-buahan dan tumbuhan herba tempatan.
"Rawatan yang kami sediakan berasaskan rawatan tradisional tetapi menggunakan pendekatan yang moden.
"Ia bermula dengan koleksi petua yang saya himpun sejak 20 tahun lalu. Hanya sejak 12 tahun yang lalu, apabila saya lihat semula himpunan itu, saya dapati terdapat banyak petua untuk mengelakkan atau mengawal penyakit kencing manis.
"Dalam kesemua petua itu, antara bahan yang kerap disebut ialah belimbing buluh, peria katak, daun gelenggang, bunga kelapa dan buah melor. Kesemuanya memang menjadi amalan nenek moyang kita.
"Daripada bahan-bahan ini, dapat disimpulkan secara teorinya kunci kepada rawatan kencing manis terletak pada rasa kelat, pahit dan masam, untuk meneutralkan rasa manis yang menjadi punca diabetes," kongsi Harun.
Pengamal perubatan alternatif ini turut menjelaskan, konsep yang diamalkan di Care4U ialah dengan 'mencari' darah pada bahagian badan yang sudah buruk dan menggunakannya untuk 'menumbuhkan' semula daging.
"Bahan yang kami gunakan dapat merangsang pertumbuhan daging. Setiap kali bahagian yang telah buruk itu dicuci, ia akan disapukan dengan penawar ini dan hasilnya dapat diperhatikan dalam masa sekurang-kurangnya tiga hari.
"Dua tahun lepas saya sendiri didiagnosis menghidap kencing manis apabila luka akibat tertusuk lebihan kuku pada jari saya tidak sembuh dan menjadi buruk.
"Pada waktu itu barulah saya menggunakan sendiri petua yang selama ini saya 'jual' kepada orang ramai dan saya menemukan keajaibannya dalam hanya tiga hari. Luka saya bercantum semula," jelasnya.
Bukan hendak mendabik dada, tetapi dalam tempoh 12 tahun bergiat aktif secara kecil-kecilan mengamalkan petua yang menggunakan bahan semula jadi dari hutan Malaysia ini, sudah hampir 1,000 pesakit diabetes yang disarankan oleh doktor untuk dipotong anggota badan yang telah buruk, berjaya diselamatkan.
"Amputasi akan mengakibatkan kecacatan kekal. Pesakit mungkin satu-satunya ahli keluarga yang bertanggungjawab untuk menyara keluarga.
"Kami hanya mahu orang ramai memikirkan akibatnya untuk jangka masa panjang. Jika ia masih dapat diselamatkan, kenapa perlu memilih untuk dipotong?," soal Harun.

Buang toksin dalam tubuh






SEMENJAK malapetaka ekologi membabitkan Chisso Corporation, sebuah kilang memproses baja di Minamata, Jepun pada tahun 1932, isu pencemaran bahan kimia di dalam makanan khususnya hidupan laut seperti ikan dan kerang terus diperkatakan hingga kini.
Sehingga tahun 2001, seramai 2,265 mangsa dikesan menghidap penyakit Minamata yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.
Penyakit itu berpunca daripada pembuangan methylmercuri secara terus ke dalam laut oleh Chisso dari tahun 1932 hingga 1968.
Dalam insiden tersebut, hidupan laut khususnya ikan dan kerang yang menjadi makanan ruji penduduk Teluk Minamata tercemar dengan bahan kimia bertoksik tinggi itu.
Bagaimanapun, peristiwa tersebut menyebabkan para saintis lebih giat mengkaji kehadiran logam berat berbahaya di dalam hidupan laut yang menjadi makanan masyarakat dunia.
Persatuan Kehamilan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini pernah memberi amaran kepada ibu mengandung agar tidak mengambil ikan tuna, merlin serta mackerel kerana ia tercemar dengan merkuri.
Tahap radiasi merkuri ikan tuna dikenal pasti berdasarkan jenis dan tempat ia ditangkap. Keracunan merkuri mampu merosakkan perkembangan otak serta fizikal janin.
Pada umumnya, siapa pun tahu racun memang mudarat untuk tubuh. Racun yang terkumpul di dalam badan boleh datang daripada mana sahaja.
Ia mungkin daripada air atau makanan yang ditelan, udara yang dihirup atau sesuatu yang disentuh oleh tangan.
Antara logam berat yang sering ditemui di dalam tubuh ialah merkuri, aluminium kadmium, dan plumbum.
Semula jadi

BEKAM penyahtoksin ialah antara kaedah alternatif untuk membuang toksin daripada dalam tubuh.



Menurut Pusat Racun Negara (PRN), Universiti Sains Malaysia, sebanyak 43 peratus daripada kes keracunan di negara ini yang dilaporkan pada tahun 2008 berpunca daripada kandungan isi rumah.
Jelas Ahli Farmasi PRN, Sulastri Samsudin, penyebaran utama bahan toksik berlaku melalui saluran makanan iaitu mulut, saluran pernafasan (hidung), kulit dan mata.
Menurut beliau, makanan sendiri terhasil melalui gabungan beberapa jenis bahan kimia dan menjadi sumber nutrisi seperti protein, karbohidrat, vitamin, serat dan antioksidan.
Namun, terdapat bahan beracun seperti cyanogenic glycoside di dalam sesetengah ubi.
Sesetengah teknik pemprosesan masakan juga menghasilkan bahan sampingan bertoksik seperti polycylic aromatic hydrocarbon atau acrylamide.
Selain itu, bahan pencemar alam sekitar seperti plumbum dan bahan berklorin, kadmium daripada kerak bumi serta alga dan kulat seperti aflatoksin dan racun daripada kerang-kerangan boleh didapati dalam bekalan makanan pada tahap berbeza-beza.
Dalam pada itu, daripada kesemua sampel produk kosmetik serta bahan makanan dan minuman yang diuji Pengguna Pulau Pinang (CAP) setakat ini, hampir 99 peratus daripadanya mengandungi bahan beracun di dalamnya.
Ini termasuk bekas polisterina, asid borik, bedak talkum, botol susu Bisphenol A (BPA), bekas air polikarbonat, sotong kering serta perasa tambahan Rhodamine B.
Kesannya, setiap pengguna akan berdepan dengan risiko penyakit berbahaya seperti kanser, perubahan genetik, diabetes, kerosakan buah pinggang dan koronari jantung.
Risiko

SESETENGAH jenis ikan mungkin dicemari logam berat, bergantung pada tempat ia ditangkap.


Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa bahan-bahan tersebut didapati bahaya untuk kesihatan badan dan seeloknya diharamkan penjualannya.
Malangnya, kata beliau, sehingga kini asid borik masih digunakan dalam produk makanan walaupun pihaknya telah beberapa kali menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan terhadap isu tersebut.
“Ujian yang dilakukan ke atas pelbagai makanan seperti mi kuning, bak chang (ladu Cina) dan kuih Nyonya yang dibeli di pasar basah di Pulau Pinang mendapati ia mengandungi asid borik dalam semua sampel.
“Satu sampel bak chang didapati mengandungi 569 bps (bahagian per sejuta) asid borik, mi kuning (6.51 hingga 296 bps) manakala kuih Nyonya (0.78 hingga 13.5 bps) asid borik.
“Asid borik amat toksin. Walaupun diambil dalam jumlah yang kecil, ia boleh membawa kepada keracunan, penyakit gastrousus, kerosakan buah pinggang dan hilang selera makan,” katanya kepada Jurnal.
Selain itu, kata Mohamed, bagi penggemar sotong kering, mereka dinasihati agar tidak memakannya berikutan ujian terbaru yang mendapati ia dicemari kadmium.
Sebelum ini, kadmium digunakan dalam galvani dan elektropenyaduran, dalam bateri, konduktor elektrik dan dalam pembuatan aloi serta plastik.
Selain itu, racun makhluk perosak endosulfan yang digunakan oleh para petani juga didapati berbahaya untuk kesihatan.
Endosulfan ialah sejenis toksin yang sangat beracun dan disyaki boleh menjejaskan sistem endokrin.
Walaupun telah diharamkan pengeluarannya pada tahun 2006 di bawah Akta Racun Makhluk Perosak 1974, penjualannya masih berleluasa di sekitar negeri Kedah.
Biasanya tubuh memproses racun-racun yang dikenali sebagai toksin itu menerusi hati dan buah pinggang sebelum mengeluarkannya melalui air kencing, peluh dan pembuangan air besar.
Tetapi bagaimana jika sistem perkumuhan semula jadi itu gagal berfungsi?
Nyahtoksin
Disebabkan sumber racun yang memasuki tubuh terlalu banyak, sesetengah orang mencari penyelesaian alternatif bagi membuang kekotoran atau toksin yang terperangkap itu dengan pelbagai cara.
Antaranya ialah mengambil pil, pelekat, minuman serta makanan yang dikatakan mampu membuang toksin daripada tubuh.
Bagaimanapun, menurut pakar terapi nutrisi di My Life Center, Esther Peh, cara terbaik untuk menyahtoksik ialah melalui proses semula jadi oleh organ tubuh.
“Organ penting seperti buah pinggang, hati, kulit dan kolon mempunyai sistem yang tersendiri untuk membuang kekotoran yang mendap di dalam tubuh,” terang beliau.
Namun, atas faktor usia, kecekapan organ tersebut kadangkala berkurangan. Justeru, penggunaan rawatan penyahtoksin seperti terapi chelation yang ditawarkan My Life Center dapat melancarkan proses tersebut, katanya.

BUAH-BUAHAN dapat membantu mengeluarkan toksin daripada tubuh tetapi awas ia juga mungkin telah dicemari racun.


Jelas beliau, antara simptom utama tubuh manusia diserang oleh toksin ialah hilang selera makan, keletihan melampau atau sukar untuk tidur.
Esther berpendapat seseorang individu perlu melakukan rejim nyahtoksin setiap tiga atau enam bulan sekali.
“Dengan risiko terdedah pada pelbagai punca dan jenis toksin, amat perlu untuk memastikan toksik keluar daripada tubuh.
“Ini penting bagi mengelakkan kerosakan organ seperti usus, buah pinggang atau hati di samping berlakunya dehidrasi,” katanya.
Sambung Esther, disebabkan toksin amat berkait rapat dengan lemak, individu perlu melakukan rutin senaman secara teratur.
Selulit, jelasnya, merupakan ukuran mudah untuk mengetahui tahap toksin di dalam tubuh seseorang kerana toksin sentiasa ‘melekat’ pada lemak.
Selain itu, tubuh turut memerlukan agen pemulihan.
“Pengambilan antioksida seperti makanan tinggi serat atau lengai anggur boleh membantu memulihkan organ yang luka akibat proses nyahtoksin,” kata Esther.

Bekam sihir


BAHAGIAN kepala dan tengkuk akan dibekam bagi mengurangkan kesan sihir.


SEJARAH rawatan berbekam yang dimulakan sejak ribuan tahun dahulu sering dikaitkan sebagai kaedah terbaik untuk mengeluarkan darah kotor yang menjadi punca pelbagai penyakit.
Hari ini, berbekam semakin popular kerana manfaatnya didakwa berkesan membantu mengurangkan bisa penyakit gout, migrain dan sakit belakang.
Terbaru, kaedah rawatan Islam ini dikatakan berupaya menangani gangguan sihir.
Menurut perawat bekam di Pusat Terapi Syifa, Ahmad Husin, 36, bekam sihir boleh dilakukan di semua titik yang dipanggil Thibbun Nabawi. Selain itu, bekam juga boleh dilakukan di titik sendi badan.
"Fungsi berbekam jenis ini ialah untuk mengeluarkan endapan sihir atau darah kotor akibat gangguan jin yang bergerak melalui saluran darah manusia.
"Untuk mengatasi gangguan sihir, bahagian yang wajib dibekam ialah kepala dan tengkuk. Bahagian tubuh yang lain dibekam mengikut keperluan, bergantung pada jenis sihir.
"Berdasarkan pengalaman saya, pesakit yang menghidap sihir kerana urusan kerja, dadanya akan sakit.
"Mangsa sihir rumah tangga pula sakit di pinggang manakala mangsa akibat sihir pelaris, mereka terpaksa berdepan dengan kesakitan yang teruk di kaki pada waktu tertentu," ujar Ahmad.
Selama dua tahun mempraktikkan bekam sihir, Ahmad berkata, kaedah rawatan yang disertai amalan bacaan ayat-ayat rukyah itu dapat mengurangkan pengaruh gangguan sihir terhadap pesakit.
"Sebelum memulakan rawatan, perawat perlu membaca ayat Kursi disusuli dengan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas bagi mengelak aura sihir daripada badan pesakit berpindah ke tubuh perawat.
Sihir berjangkit
"Kebanyakan perawat bekam sihir di pusat ini pernah menerima tempias ilmu sihir daripada pesakit sehingga ada yang serik untuk menjadi perawat lagi," katanya.
Ditanya tentang bentuk gangguan yang diterima, Ahmad memberitahu, ada perawat yang mengalami bisa-bisa badan, demam, hilang semangat dan mendapat mimpi yang kurang baik.
Berpeluang melihat proses rawatan bekam sihir ke atas seorang pesakit, dapat disimpulkan bahawa teknik berbekam sihir dan bekam darah tiada bezanya melainkan pesakit disarankan mengamalkan ayat-ayat rukyah.
"Kaedah bekamnya sama sahaja. Dengan menggunakan sarung tangan getah, perawat akan mengenal pasti urat yang betul sebelum menekapnya dengan cawan bekam yang telah disteril bagi menjamin kebersihan dan pembasminan bakteria serta virus secara maksimum.
"Setelah itu, barulah kawasan tersebut dicucuk dengan jarum pakai buang yang dikhaskan untuk berbekam.
"Proses sedutan darah biasanya dilakukan sebanyak dua hingga tiga kali bagi memaksimumkan pengeluaran darah kotor," ujar Ahmad.
Darah berwarna merah gelap yang berketul-ketul seperti jeli itu dikatakan mengandungi toksik, asid urik, kolesterol, angin, sel darah merah yang rosak dan juga unsur gangguan jin.
Pada akhir rawatan bekam, darah kotor akan dibersihkan dan kawasan bekam disapu dengan kapas beralkohol untuk menyahkan kuman.
"Selepas berbekam, pesakit akan terus terasa segar dan bertenaga kerana badan jadi ringan akibat pembuangan toksik daripada badan.
"Ia juga boleh mengurangkan 50 hingga 60 peratus gangguan sihir dalam badan kerana jin hanya akan bergerak mengikut aliran darah yang kotor.
"Jika darah yang kotor dibuang, Insya-Allah gangguan sihir dapat dikurangkan malah dihapuskan secara berperingkat," ujar Ahmad.
Ditanya mengenai pantang larang sebelum menjalani rawatan bekam sihir, dia menjawab, pesakit dianjurkan berpuasa sehari sebelum temu janji bekam. Jika tidak berpuasa, pastikan perut dikosongkan dua jam sebelum berbekam.
Selepas berbekam pula, pesakit nasihatkan tidak makan dan tidur selama dua jam.
"Rawatan bekam adalah sunah Rasulullah untuk mengubati 93 jenis penyakit klinikal selain gangguan jin.
"Bagi yang sihat tubuh, saya mengesyorkan mereka menerima rawatan bekam sunah ini sebulan sekali manakala bagi yang berpenyakit sama ada klinikal mahupun gangguan jin, rawatan perlu disusuli seminggu sekali sehingga sembuh," jelasnya.

Detoksifikasi penyakit

Rawatan bekam juga membantu dalam menaikkan seri wajah kerana aliran darah lebih lancar.






KEINGINAN untuk hidup sihat dan kelihatan cantik membuatkan sesetengah individu sanggup mencuba pelbagai rawatan kesihatan.
Selain perubatan moden, perubatan alternatif juga mula mendapat tempat terutamanya golongan wanita.
Setelah penat seharian bekerja dan menguruskan rumah tangga, mereka tiada masa untuk menjaga kesihatan dan memanjakan tubuh badan.
Hari ini, terdapat pelbagai kaedah boleh digunakan lelaki dan wanita untuk menghilangkan stres serta memulihkan kelesuan tubuh.
Salah satu rawatan yang boleh dilakukan tanpa rasa sakit adalah terapi bekam.
Ia adalah satu proses untuk membuang darah kotor dari dalam badan melalui permukaan kulit.
Jika dahulu bahan dan teknik yang digunakan agak ngeri iaitu melalui teknik torehan dan buluh. Ramai yang menyifatkan ia sakit dan berbahaya. Terutama jika pesakit tersebut penghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV).
Kini, kaedah bekam turut melalui satu evolusi apabila mangkuk kaca dan alat peniti khas berjarum halus digunakan. Jarum yang digunakan juga ditukar.
Ini diakui sendiri oleh Pengasas Pusat Homeopati dan Bekam, Dr. Nik Omar Nik Daud, apabila teknik bekam kini menggunakan teknologi moden dan selamat.
Beroperasi di Bandar Baru Bangi, Selangor, peralatan seperti mangkuk yang digunakan akan dibersihkan terlebih dahulu melalui proses pensterilan sebelum digunakan kepada pesakit lain.
"Tidak timbul soal bahaya dalam rawatan ini. Mangkuk yang digunakan terdiri daripada pelbagai bentuk. Ia akan digunakan mengikut umur dan berat badan pesakit.
"Malah, jarum yang digunakan ke atas pesakit juga tidak akan digunakan kepada pesakit lain," katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

JARUM yang digunakan kepada pesakit tidak akan dikongsikan dengan pesakit lain.


Nik Omar yang mempraktikkan bekam, akupuntur dan homeopati lebih daripada suku abad memberitahu, ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat banyak toksik yang terperangkap di dalam tubuh badan mereka.
"Disebabkan itu, mereka sering merasa lenguh-lenguh badan, penat dan tidak bermaya. Amalan berbekam penting bagi memulihkan kembali fungsi tubuh kepada asal," kata anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Secara saintifiknya, penyakit di dalam tubuh berpunca daripada makanan yang tidak seimbang.
Makanan pula akan dicernakan di dalam perut. Kapilari-kapilari dari perut pula akan menyerap zat-zat yang penting dan menjadi nutrien dalam darah.
Sisa-sisa daripada proses pencernaan pula akan dibuang dari tubuh badan sebagai najis, air kencing dan perpeluhan dari seluruh badan.
Darah yang mengandungi nutrien akan mengalir ke semua organ-organ dalam tubuh badan seperti hati, paru-paru, jantung, kelenjar, otak, organ pencernaan, ginjal, organ pembiakan dan lain-lain lagi.

RAWATAN bekam disaran dilakukan sekurang- kurangnya sebulan sekali.


Darah juga akan mengambil bahan-bahan buangan dalam darah dan mengangkutnya ke paru-paru, ginjal dan kulit untuk dikeluarkan daripada tubuh badan manusia.
Kegagalan bahan toksik dikumuhkan melalui sistem perpeluhan akan akan menyebabkan darah yang bertoksik terperangkap antara tiga milimeter hingga empat milimeter di bawah permukaan kulit.

KEBANYAKAN penyakit berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang. – Gambar hiasan






MANGKUK yang digunakan untuk menyedut darah melalui proses pensterilan.


Bekam boleh dilakukan pada mana-mana bahagian tubuh kecuali bahagian yang bertulang dan berongga. "Lazimnya, ramai yang memilih bahagian belakang. Darah yang dikeluarkan melalui proses bekam lazimnya berwarna merah kehitaman dan agak sedikit likat. Adakanya ia juga berketul-ketul.
"Bergantung pada bahagian tubuh, kawasan yang mempunyai kandungan toksik yang tinggi akan mengeluarkan darah yang banyak," jelas Nik Omar. Adakah bahagian yang dicucuk jarum itu terasa pedih apabila mandi? Jelas Nik Omar: "Tidak, anda boleh mandi seperti biasa."
Bekam dikatakan teknik detoksifikasi yang berkesan, dapat merawat pelbagai penyakit dan memulihkan fungsi tubuh.
Dalam pada itu, wanita yang ingin datang ke pusat Nik Omar untuk sesi rawatan tidak perlu risau kerana mereka akan dirawat oleh dua orang pembantu wanita yang berpengalaman hampir lima tahun dalam teknik bekam.
Nur Shazatul Shafiqa Ab. Gafa, 23, mahir melakukan kaedah bekam yang dipelajarinya daripada Nik Omar hampir lima tahun.
Sejak kecil lagi Shafiqa berminat dengan perubatan alternatif. Lebih-lebih lagi apabila dia mendapat sokongan daripada bapanya.
"Ia adalah satu cabaran apabila kita mempelajari sesuatu yang berbeza. Mempelajari teknik berbekam bukanlah sesuatu yang sukar. Saya gembira apabila ayah menyetujui minat saya ini," kata gadis yang berasal dari Pahang itu.
Menurutnya, dalam sehari sebanyak empat hingga lima orang wanita atau lelaki datang melakukan rawatan bekam sama ada yang ingin membuang toksik atau mempunyai penyakit.
Tambahnya, selain untuk kesihatan, kaedah rawatan alternatif ini juga membantu dalam menaikkan seri wajah kerana aliran darah telah lancar.

Bekam lintah untuk pengantin



SPESIES lintah dari Eropah ini hanya digunakan sekali sahaja dalam rawatan.



Menjadi lumrah pada hari seseorang bergelar raja sehari, setiap bakal pengantin ingin kelihatan anggun, cantik, berseri-seri atau tampan pada majlis bersejarah dalam kehidupan mereka.
Menjelang hari yang dinanti-nantikan itu, pengantin perempuan terutamanya, dalam setiap kaum, akan sibuk menjalani terapi kecantikan dan sesetengah cara tradisional yang dilaksanakan mungkin nampak agak pelik.
Dalam budaya masyarakat Melayu, terapi kecantikan yang selalu dilakukan meliputi penggunaan bahan semula jadi seperti skrab tumbuh-tumbuhan, terapi batu panas, mandi susu dan mandi bunga.
Terapi ini bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan tubuh yang bersih dan mulus serta menaikkan seri pengantin tetapi juga membantu meningkatkan lagi keyakinan menghadapi hari bahagia itu.
Kini, terdapat pendekatan baru yang ditawarkan dalam pakej spa perkahwinan tersebut iaitu bekam lintah.
Menjadikan bekam lintah sebagai satu rawatan di spa kecantikan adalah satu langkah bijak dalam usaha menggabungkan kecantikan dan kesihatan.
Menurut pakar terapi kecantikan Jelitasari Spa & Beaute, Fadzillah Hamid, kaedah bekam lintah dimasukkan ke dalam pakej perkahwinan bertujuan ingin memberi kelainan kepada bakal pengantin.
"Selain untuk kesihatan, kaedah rawatan alternatif ini juga membantu dalam menaikkan seri wajah disebabkan perjalanan darah yang telah lancar.
Pakej perkahwinan yang disediakan di spa yang beroperasi di Hotel Quality Shah Alam ini bukan hanya untuk bakal mempelai perempuan tetapi juga pasangan mereka.
Pengunjung boleh memilih mana-mana pakej yang bermula pada harga RM350 hingga RM4,500.
Antara pakej perkahwinan yang disediakan ialah pakej rawatan wajah, rawatan badan iaitu urutan aroma terapi, skrab dan lulur. Bakal pengantin juga boleh menyegarkan diri dengan rawatan mandian wap, susu, bunga atau herba.

FADZILLAH HAMID dan Syahrul Nizam Sudin menjalin kerjasama dalam menawarkan perkhidmatan bekam lintah.


Pakej pengantin yang ditawarkan ini turut meliputi rawatan tangan, kaki serta rambut.
Kesemua rawatan tersebut akan diakhiri dengan bekam lintah. Prosedurnya dijalankan oleh pakar bekam lintah dari AZR Agro Centre.
Menurut pakar bekam lintah AZR Agro Centre, Syahrul Nizam Sudin, 32, kaedah berbekam tidak mengambil masa yang lama.
"Ia boleh mengambil masa selama 20 minit hingga dua jam, bergantung kepada masalah dan jumlah darah kotor yang dihisap oleh lintah. Bakal pengantin terutamanya wanita tidak perlu bimbang dengan kesan parut yang tinggal kerana ia tidak kekal dan boleh hilang dalam tempoh beberapa minggu sahaja," katanya yang turut mencadangkan bakal pengantin mencuba kaedah ini tiga atau dua bulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.
Usah bimbang akan keselamatan dan kebersihan kerana menurut Syahrul Nizam, spesies lintah dari Eropah tersebut hanya digunakan sekali sahaja dalam rawatan. Lintah tersebut kemudiannya akan diasingkan.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kaedah berbekam membantu menghilangkan pening kepala dan migrain, membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
Ia turut membantu memecahkan lemak, peluh dan melegakan demam. Selain itu, berbekam juga dapat memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
Selain rawatan pengantin, AZR Agro Centre turut menjalin kerjasama dengan JelitaSari dalam rawatan bekam lintah untuk pengunjung yang memilih pakej biasa.
Lintah, haiwan dwi jantina tanpa tulang belakang ini sebenarnya tergolong dalam keluarga cacing. Ia diketahui baik untuk kesihatan apabila enzim (air liur) yang ditinggalkan pada kulit bekas gigitannya dikatakan mampu mencairkan darah beku.
"Malah, lintah tidak menghisap darah yang banyak. Paling maksimum, sebanyak 3 hingga 4 ekor lintah akan menghisap darah tidak sampai 120 mililiter," jelas Syahrul Nizam.

RAWATAN ini mengambil masa 20 minit hingga dua jam, bergantung kepada masalah dan jumlah darah kotor yang dihisap oleh lintah.


Bekam bukanlah kaedah baru kerana ia telah digunakan sejak zaman Nabi Muhammad lagi. Ketika itu, cawan atau mangkuk kaca digunakan untuk berbekam. Manakala pada zaman Cina kuno pula, mereka berbekam menggunakan tanduk. Kaedah ini juga popular dalam kalangan orang Eropah pada abad ke-18 sehingga sekarang.

Darah tinggi penyakit seumur hidup






HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.
Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.
Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui.
“Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.
Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.
Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.
Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.
Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.
“Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.

PERUBATAN alternatif akupuntur dipercayai dapat memulihkan penyakit darah tinggi.
PENGHIDAP darah tinggi perlu bergantung pada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.


Satu daripada dua
Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.
“Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.
“Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.
“Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.
Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.
“Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.
Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah.

FATIMAH ARSHAD


“Dari sudut homeopati, keadaan pesakit darah tinggi termasuk simptom yang mereka alami akan dinilai terlebih dahulu.
“Selepas didiagnosis, mereka akan diberikan ubat-ubatan yang bersumberkan alam semula jadi seperti garam galian,” katanya.
Ujarnya lagi, garam galian berbeza daripada garam yang terdapat dalam makanan yang menjadi punca darah tinggi.
Katanya, garam galian lebih selamat dan bersumberkan sulfur, magnesium dan kapur.
“Ia selamat dan boleh membantu mengurangkan tekanan darah seseorang,” katanya.
Akupuntur
Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.
Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.
“Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.
“Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.

RAWATAN sering menjadi alternatif dalam mengurangkan penyakit darah tinggi.


Bagi rawatan bekam pula, Nik Omar berpendapat amalan itu mempunyai manfaat yang cukup banyak kerana dapat mengeluarkan toksik daripada darah.
“Ia juga dapat membuang darah kotor dalam badan. Jika diamalkan mengikut nasihat pengamal perubatan tradisional terlatih, tekanan darah tinggi boleh menjadi normal semula.
Bagi pakar pemakanan, Dr. Fatimah Arshad menjelaskan, penghidap darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.
“Kurangkan makanan berlemak dan banyak makan sayur-sayuran serta buah-buahan segar. Jangan makan buah betik yang dibuat rojak. Kicap mengandungi garam yang tinggi.
“Kurangkan penggunaan belacan untuk masakan, begitu juga ikan dan telur masin. Makanan segera pula harus dielakkan,” katanya.

Langsing cara kuno







AKUPUNTUR menyasarkan titik-titik tertentu pada tubuh manusia.



BEKAS-BEKAS makanan tersusun rapi di dalam rak.



KANAN: Mereka turut bekerjasama membersihkan pinggan mangkuk selepas makan.



SEORANG pesakit obes menerima rawatan akupuntur di Hospital Pengurangan Lemak Aimin di China.



PESAKIT-PESAKIT obes datang ke hospital ini dengan harapan yang tinggi.


OBESITI merupakan satu bentuk penderitaan masyarakat moden. Tetapi, salah sebuah hospital pakar terkemuka di China kini menawarkan harapan baru bagi individu-individu yang menderita masalah berat badan menerusi teknik-teknik kuno.
Hospital Pengurangan Lemak Aimin yang terletak di kota Tianjin berhasrat menawarkan rawatan-rawatan menggunakan herba tradisional selain akupuntur, urut dan bekam.
"Apa yang menarik tentang kaedah penurunan berat badan orang Cina ialah ia natural dan selamat. Biarpun berat badan akan menurun secara mendadak, kami juga boleh menjamin bahawa semua indikasi kehidupan adalah normal," demikian kata Pengarah Hospital dan Ketua Doktor, Shi Lidong kepada agensi berita Reuters.
Shi berkata, bilangan remaja yang obes meningkat sepuluh peratus setiap tahun.
Hospital berkenaan telah menarik perhatian ratusan warga Cina yang obes dan mengalami berat badan melampau. Semuanya menjadi mangsa kemewahan negara tersebut yang kian meningkat. Malah, kini, warga asing turut membanjiri hospital tersebut.
Sedang sebatang jarum akupuntur dicucuk ke atas tubuh Cheng Jian, 20, yang berlemak, ketidakselesaan itu bagaimanapun tidak setanding perasaan malu diejek sebagai gemuk.
Cheng adalah salah seorang daripada ratusan warga Cina dan asing yang mendaftarkan diri di hospital berkenaan untuk menguruskan badan selain memperoleh semula keyakinan diri.
"Orang selalu berkata di belakang saya kerana mereka belum pernah melihat seseorang segemuk saya," katanya.
Seorang lagi rakyat Amerika Syarikat (AS), Alonzo Bland yang memiliki berat sebanyak 290 kilogram (kg) telah mendaftarkan diri di Aimin pada Mei lalu. Dia berbuat demikian setelah memenangi hadiah bernilai rawatan percuma selama setahun dalam sebuah peraduan baru-baru ini. Peraduan tersebut telah dianjurkan oleh sebuah syarikat yang turut menganjurkan lawatan-lawatan ke China untuk tujuan rawatan perubatan.
Bland, seorang bekas sukarelawan dari Green Bay, Wisconsin, menderita pelbagai masalah kesihatan dan menganggur sepanjang tempoh sedekad ini ekoran saiz badannya.
Dia mengalami kesukaran berjalan dan terpaksa bergantung kepada sebatang tiub untuk membantunya bernafas. Selain itu, tiub tersebut turut mengimbangi lemak pada bahagian dada dan leher yang menekan saluran udaranya.
"Saya rasa makanan segera memainkan peranan yang penting. Hanya kerana seseorang itu tidak dapat menyediakan makanan yang sihat di dapur, maka mendapatkan makanan segera nampaknya lebih mudah," kata Bland, 32 tahun.
Setelah gagal mengurangkan berat badannya di rumah, Bland berharap kunjungannya ke China dapat membawa sinar harapan.
"Matlamat terakhir saya ialah untuk menurunkan berat badan dan berasa lebih sihat. Saya rasa perubatan tradisional Cina mungkin dapat membantu melancarkan proses perubahan ini," katanya.
Menurut Shi, makanan Cina yang banyak terdiri daripada sayuran hijau, tofu dan nasi adalah diet yang patut diamalkan oleh Bland. Bland turut dirawat menggunakan akupuntur, urut dan bekam.
Akupuntur secara keseluruhannya membantu mengurangkan selera makan dan memperbaiki kadar metabolisma. Namun, Shi menyakinkan rawatan yang ditawarkan adalah bersifat holistik.
Seorang lagi pesakit Cina yang hanya ingin dikenali sebagai Shen berkata, dia mengambil keputusan untuk ke hospital setelah berat badannya menjadi satu beban.
"Anda akan menganggu orang lain ketika tidur dan ini amat menyusahkan hidup. Saya tahu saya perlu mengurangkan berat badan," katanya ketika menerima rawatan akupuntur dan urut daripada doktor.
Selain ubatan farmaseutikal, ribuan tumbuhan, kulat dan haiwan baik yang terpelihara mahu pun yang menimbulkan kontroversi telah digunakan sebagai penawar ubatan Cina yang kini menjadi alternatif pilihan ramai. Ia dipercayai tidak mempunyai banyak kesan sampingan berbanding ubatan Barat.
Dalam pada itu, Shi berkata, dia yakin Bland dan pesakit-pesakit lain dapat mengurangkan berat badan tetapi menekankan rawatan tradisional Aimin bagaimanapun bukan pengganti kepada satu kaedah lama menghilangkan berat badan iaitu bersenam. - Reuters